Monday 21 February 2011

Hargai Setiap Nafas

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang masih meminjamkan roh dan jasad kepada kita, bagi membolehkan kita beribadat dan bertaubat kepadaNya. Juga membolehkan kita berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wassalam. Sesungguhnya tiada lagi bantuan yang boleh dipinta dan diharapkan di Padang Mahsyar nanti melainkan syafa'at kekasihNya yang mulia, Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam. Lalu bagaimanakah kita boleh menyangka akan mendapat syafa'at tersebut sedang lidah tidak pernah mengungkap selawat ketika di dunia dahulu. "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

Lebih dari itu, bersyukur juga kita kerana nafas yang masih dipinjamkan kepada kita juga memberi peluang kepada kita untuk menjadi anak yang berbakti kepada kedua ibubapa serta dapat mendoakan mereka semasa hidup mahupun ketika penantian di alam barzakh, untuk perhitungan amal dosa dan pahala. Bukankah kita dianjurkan untuk mendoakan kedua ibubapa kita, "Ya Allah ampunkan dosa-dosaku dan kedua ibubapaku, serta rahmatilah keduanya sebagaimana mereka mengasihiku semasa kecilku". Semoga memori akan peri pentingnya kehadiran ibubapa dalam kehidupan kita ketika kecil, kita bawa bersama sepanjang hayat ini.

Masih bersatunya jasad dan roh ini juga memberi peluang kepada kita menjadi ibu dan bapa yang mampu memberi didikan dan teguran serta doa kepada anak-anak, yang mana didikan, teguran serta doa itu amat mereka perlukan sehingga akhir hayat agar menjadi anak-anak yang soleh. Ingatlah antara maksud hadith, "Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam, maka putuslah amalnya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang berjalan terus, ilmu yang berguna dan diamalkan serta anak yang soleh yang mendoakan kebaikan baginya".

Kesyukuran juga dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana usia yang masih berbaki ini juga memberi peluang bagi kita untuk menjadi pasangan yang saling ingat mengingatkan, lengkap melengkapkan serta menyemai mawaddah di usia ini dan rahmah di usia mendatang.

Semoga hidup yang semakin sampai ke penghujungnya  ini dimanfaatkan sepenuhnya dan semoga kita menemukan jalan yang lurus, yang saban waktu kita mohon, yang dibaca dalam setiap rakaat solat, "Tunjukkan kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang Engkau berikan nikmat ke atas mereka. Bukan jalan orang-orang yang  Engkau murkai dan (bukan jalan orang-orang yang) sesat". Aamin.